
Beliau berkata, prinsip perjuangan Umno tidak pernah tergadai walaupun parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Pendirian saya tetap sama sejak dari Langkah Sheraton sehingga ke hari ini.
“Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap,” katanya dalam catatan di Facebook mengulas situasi politik semasa Negeri Sembilan.
Terdahulu, 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Umno dan BN Negeri Sembilan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri susulan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN).
Melalui kerjasama BN-PN, gabungan itu akan menikmati 19 sokongan Adun, mengatasi 17 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Akmal turut menegaskan sekiranya ‘garis merah’ ditetapkan Umno sudah dilanggar, parti itu wajib mempertahankan prinsip melebihi kepentingan jawatan.
Menurutnya, hanya ada dua pilihan bagi Umno, iaitu menjadi pembangkang bermaruah atau membubarkan DUN untuk memberi mandat semula kepada rakyat.
“Dua pilihan yang ada bagi Umno iaitu menjadi pembangkang yang bermaruah ataupun membubarkan DUN untuk kita serahkan kepada rakyat untuk memilih, ‘Full stop’,” katanya.
Pada PRN lalu, PH dan BN membentuk kerajaan negeri dengan Aminuddin dilantik menteri besar.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan empat Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.
Susulan krisis itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan disempurnakan Tuanku Muhriz, Khamis lalu.