
Sebaliknya, Akmal berkata, beliau hanya setia kepada Umno, dengan menjadi budak ABU, merujuk ‘Aku Budak Umno’.
“Baru-baru ini, ada seorang pemimpin PAS yang datang ke Melaka, saya nak beritahu teruslah, orang itu adalah menteri besar Kedah yang sekarang bagi ceramah, labelkan Akmal Saleh ni ‘budak catur’ Zahid Hamidi.
“Saya ini bukan budak catur Zahid Hamidi, bukan budak catur Tok Mat Hasan, bukan budak KJ, tapi saya ialah ABU. Aku Budak Umno, dulu kini dan selamanya. Checkmate!” katanya dalam ucapan Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Adun Merlimau itu menjawab dakwaan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor yang melabelkannya budak catur Zahid, ketika berucap di pentas politik Melaka pada 26 April lalu.
Sanusi mendakwa Akmal lantang mengkritik DAP, namun hakikatnya hanya memainkan peranan yang ditentukan kepimpinan parti.
Sementara itu, Akmal mempertahankan kepimpinan Zahid yang menurutnya memberi ruang dan kepercayaan kepada orang muda dalam parti.
Jelasnya, ramai pemimpin boleh bercakap mengenai kepentingan orang muda, tetapi tidak semua berani menyerahkan kebebasan dan kepercayaan kepada mereka.
“Presiden kita memahami perkara ini kerana presiden sendiri pernah melalui gelanggang Pemuda.
“Presiden tahu Pemuda bukan tempat belajar diam. Pemuda ialah tempat belajar berani, belajar melawan, belajar setia dan belajar memikul amanah.”
Menurutnya, Umno masih mempunyai masa depan dengan anak muda sekiranya parti itu mengubah pendekatan, termasuk cara bercakap, mendekati rakyat dan menangani keresahan generasi baharu.
Beliau berkata, prinsip Umno mempertahankan agama, bangsa dan negara tidak boleh berubah, tetapi metodologi parti mesti disesuaikan dengan zaman.
“Kita tidak boleh gunakan pendekatan tahun 80-an untuk bercakap dengan generasi TikTok. Kita tidak boleh guna bahasa lama untuk menjawab keresahan baru.”