Kerajaan ajak rakyat meriahkan media sosial dengan kibaran Jalur Gemilang

Kerajaan ajak rakyat meriahkan media sosial dengan kibaran Jalur Gemilang

Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Kempen Kibaran Jiwa Merdeka untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air.

Orang ramai digalakkan memuat naik gambar dan video kibaran Jalur Gemilang pada tanggal 31 Ogos dan 16 Sept.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan hari ini melancarkan Kempen Kibaran Jiwa Merdeka dalam memupuk semangat orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

Menterinya Aaron Aro Dagang menyeru rakyat Malaysia di dalam dan luar negara memeriahkannya dengan memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada tanggal 31 Ogos dan 16 Sept di media sosial dengan tanda pagar #KibaranJiwaMerdeka.

Menurutnya, kempen terbabit sebahagian usaha meningkatkan semangat patriotrik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.

Aaron Aro Dagang.

“Melalui konsep Malaysia Madani, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berharap kemeriahan gambar patriotik itu akan menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia serta menanam pohon-pohon perpaduan.

“Kami berharap kempen ini secara tidak langsung dapat meraikan kepelbagaian, mempromosikan kebersamaan seterusnya membentuk jati diri yang dapat membina semangat cintakan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.