21 tapak perpaduan bakal dibangunkan capai keharmonian sosial

21 tapak perpaduan bakal dibangunkan capai keharmonian sosial

Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang berkata pembangunan di perumahan strata kos rendah itu bagi mendorong interaksi penduduk pelbagai latar belakang.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang (duduk tengah) bergambar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (Gambar MExUnity).
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan projek pembangunan ruang sosial dan ruang fizikal sebagai tapak perpaduan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perumahan strata kos rendah di seluruh negara.

Menterinya Aaron Ago Dagang berkata sebanyak 21 tapak lokasi berpotensi di 14 negeri dikenalpasti oleh kementerian untuk pembangunan ruang fizikal dan ruang sosial itu.

Katanya, antara cadangan projek adalah pembinaan dewan terbuka, pembinaan taman permainan kanak-kanak,
pembinaan gazebo, sudut hijau, pusat kegiatan sukan, pusat kegiatan komuniti berpusat, perpustakaan komuniti dan pembinaan trek berjalan.

“Pembangunan ruang fizikal dan sosial dicadangkan ini berfungsi sebagai tapak untuk penglibatan inklusif yang mendorong interaksi antara penghuni pelbagai latar belakang dengan matlamat mencapai keharmonian sosial yang lestari.

“Selain memupuk kesepaduan dalam kalangan komuniti, pembinaan ruang ini juga merupakan satu inisiatif integrasi yang memperkukuh kerjasama strategik antara komuniti, akademik, agensi kerajaan, sektor
swasta dan NGO,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang dipengerusikan oleh beliau.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat pertama MExUnity pada 2025 itu, pemutihan 584 tanah-tanah premis perpaduan, pengurusan isu-isu perpaduan di peringkat akar umbi, dan pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan 2025.

Mengenai pencapaian pelaksanaan inisiatif pemerkasaan rukun tetangga progresif, Aaron berkata sebanyak 152 rukun tetangga dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif pada 2024 melebihi sasaran awal iaitu 116 rukun tetangga.

Sementara itu, Aaron berkata kementerian juga akan membangunkan aplikasi digital – KRT Mart bagi memperluaskan lagi pasaran produk-produk KRT melalui aplikasi yang mesra pengguna dan mudah diakses iaitu melalui telefon pintar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.