Kementerian Perpaduan sasar tubuh 100 KRT baharu tahun ini

Kementerian Perpaduan sasar tubuh 100 KRT baharu tahun ini

Menteri Aaron Ago Dagang kata sebanyak 8,529 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara.

aaron ago
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang kata Rukun Tetangga Progresif inisiatif penting dalam menjana pendapatan komuniti.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan untuk menubuhkan 100 lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu di seluruh negara pada tahun ini, mengambil kira permintaan masyarakat.

Menteri Aaron Ago Dagang berkata terdapat sebanyak 8,529 KRT telah ditubuhkan, di mana 91 ditubuhkan pada tahun lalu yang turut merangkumi tujuh KRT baharu di bahagian Sri Aman, Lubok Antu.

“Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif yang saya perkenalkan pada tahun lalu adalah satu inisiatif yang penting kerana projek ekonomi yang dibangunkan oleh KRT Progresif mampu menjana pendapatan komuniti, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Projek ekonomi bawah KRT Progresif meliputi tiga sektor utama, iaitu pertanian, produk makanan dan perkhidmatan,” katanya dalam ucapan ketika pelancaran KRT baharu Sri Aman bagi tahun ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata sebanyak 14 buah KRT di Sarawak berjaya dinaik taraf ke status progresif serta peruntukan sejumlah RM1.6 juta telah disalurkan pada tahun lalu bagi menjalankan projek ekonomi, komuniti dan lain-lain.

“Walaupun setiap tahun kita menambah dan menubuhkan KRT baharu tetapi kini terdapat lebih kurang 442 KRT, iaitu 5.2 % tidak aktif di seluruh negara.

“Maka saya berikan KPI tahun 2025 dengan meminta semua Pengarah Perpaduan Negeri mengambil tindakan proaktif, bekerjasama dengan pelbagai pihak melalui pendekatan keseluruhan kerajaan mahupun melaksanakan kempen untuk mengaktifkan KRT-KRT tersebut,” katanya.

Secara keseluruhan di Sarawak kini pula mempunyai sebanyak 1,092 KRT.

Januari lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Che Roslan Che Daud dilapor berkata pihaknya diperuntukkan RM20 juta bagi memodenkan serta menaik taraf 300 KRT kepada status KRT Progresif, tahun ini.

Katanya, sebanyak 152 KRT Progresif dimodenkan dan dinaik taraf menjelang tahun lalu.

KRT Progresif diperkenalkan Mei lalu bagi meningkatkan peranan RT dalam pembangunan komuniti, merangkumi lapan bidang antaranya ekonomi dan sara hidup, keselamatan komuniti, kesejahteraan komuniti, alam sekitar, dan budaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.