Dakwaan salah guna kuasa tak dedah jenis kesalahan Najib, peguam beritahu mahkamah

Dakwaan salah guna kuasa tak dedah jenis kesalahan Najib, peguam beritahu mahkamah

Shafee Abdullah berkata pertuduhan rasuah gagal nyata 'kepentingan' diperoleh bekas perdana menteri berkait keputusan transaksi 1MDB.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peguam Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa tidak mendedahkan apa jenis kesalahan dihadapi bekas perdana menteri.

Shafee Abdullah berhujah, pertuduhan rasuah gagal menyatakan perincian ‘kepentingan’ diperoleh Najib atau akan diterimanya daripada keputusan berkaitan transaksi 1MDB.

Beliau ambil maklum dalam kes tipikal rasuah, pihak pendakwaan akan menggariskan bagaimana individu dituduh mempunyai ‘kepentingan’ menerusi proses membuat keputusan.

“Jika pendakwaan tidak menyatakan secara spesifik kepentingan yang tertuduh ada dalam pertuduhan, jadi tiada kesalahan,” kata Shafee.

“Saksi (dalam perbicaraan 1MDB) tidak pernah memberi keterangan berkait ‘kepentingan’,” tambahnya merujuk hujahan akhir kes pendakwaan.

Merujuk kepada contoh, Shafee berkata dalam kes salah guna kuasa melibatkan Anwar Ibrahim pada 1999, pihak pendakwaan secara jelas menyatakan kepentingannya dalam mengarahkan dua pegawai Cawangan Khas memperoleh penafian bertulis berkait dakwaan salah laku seksual.

Shafee memberitahu mahkamah, bahawa ‘dua ke empat kesalahan’ dihimpunkan dalam setiap empat pertuduhan terhadap Najib, sambil menegaskan setiap kesalahan perlu digariskan secara jelas dalam setiap pertuduhan.

Najib didakwa dengan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei selepas memanggil 50 saksi memberi keterangan sepanjang lima tahun perbicaraan berlangsung.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.