Karya seni hampir RM800,000 berkait 1MDB dibawa pulang ke Malaysia

Karya seni hampir RM800,000 berkait 1MDB dibawa pulang ke Malaysia

SPRM berkata karya terbabit hasil sentuhan artis terkenal dunia, Joan Miró, Maurice Utrillo, Balthus dan Pablo Picasso.

Karya seni dikaitkan dengan 1MDB dipindahkan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Empat karya seni bernilai kira-kira RM786,556 yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibawa pulang ke Malaysia, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Karya seni berkenaan kini ditempatkan dengan kawalan keselamatan ketat di ibu pejabat SPRM di sini, sementara menunggu proses pengesahan dan penilaian lanjut.

Empat karya dianggarkan bernilai keseluruhan USD198,125 itu hasil sentuhan artis terkenal dunia, iaitu Joan Miró, Maurice Utrillo, Balthus dan Pablo Picasso.

Antara karya terbabit termasuk Composition (1953) oleh Miró, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Utrillo, Etude pour femme couchée (1948) oleh Balthus, serta L’Ecuyere et les clowns (1961) oleh Picasso.

Menurut SPRM, karya seni itu sedang melalui proses penstabilan persekitaran sebelum dibuka untuk tujuan pengesahan dan penilaian oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), bagi memastikan pemeliharaan optimum.

“Pemulangan karya seni ini bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan
amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Pemulangan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan, diterajui SPRM melalui kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.

SPRM berkata sehingga kini, Malaysia telah berjaya memulihkan kira-kira RM31.2 bilion aset berkaitan 1MDB, bersamaan hampir 70% daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.

“Setiap pemulihan aset membuktikan tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks,” kata SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.