Danish Iftikhar, Nur Afrina ungguli acara pecut Sukma 2024

Danish Iftikhar, Nur Afrina ungguli acara pecut Sukma 2024

Danish Iftikhar Muhammad Roslee mendominasi acara 100m manakala Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal memadam rekod 16 tahun.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dinobat raja dan ratu pecut Sukan Malaysia. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal masing-masing dinobatkan raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2024 selepas mendominasi acara 100m hari ini.

Danish Iftikhar mencatatkan 10.53s untuk menang pingat emas buat Johor, menafikan cabaran sengit dua lagi pelumba, Danish Irfan Tamrin dan Muhammad Erfain Feerzan Qhan Mohd Yazid, yang masing-masing meraih perak dan gangsa.

Danish Irfan dari Selangor merakam kepantasan 10.60s manakala Muhammad Erfain dari Pahang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan masa 10.66s.

“Semua pesaing memberikan yang paling hebat, saingan paling kuat dari separuh akhir sampai final. Sayang tak fikir apa-apa, saya cuma percaya pada rezeki dan tawakal sebab saya sudah buat terbaik dan berlatih dengan gigih.

“Saya memang ada letak sasaran untuk menang emas dan bantu Johor,” kata Danish Iftikhar, 17, ketika ditemui di Stadium Sarawak.

Danish Iftikhar berharap dapat meneruskan momentum positif untuk membantu Johor meraih emas dalam acara 200m esok dan 4x100m pada Jumaat.

Pada masa sama, atlet Selangor, Nur Afrina mempamerkan larian bertenaga untuk membawa pulang emas 100m wanita selepas mengungguli saingan dengan 11.64s, yang juga rekod baharu temasya Sukma 2024.

Nur Afrina memadam rekod 16 tahun milik Siti Fatima Mohamad dari Johor 11.82s yang dilakukan pada Sukma 2008 di Terengganu.

“Sukma kali ini edisi terakhir saya dan ini semestinya ia sasaran saya untuk memecahkan rekod Sukma dan menang pingat emas buat Selangor.

“Saya juga bersyukur kerana dapat memperbaharui rekod Sukma dan sebenarnya catatan peribadi terbaik saya menyamai rekod Sukma,” kata atlet berusia 20 tahun itu.

Saingan olahraga yang menawarkan keseluruhan 47 pingat emas berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.