
Beliau bagaimanapun percaya tindakan atlet itu mungkin didorong individu tertentu menjelang mesyuarat agung tahunan MA ke-22 pada Ahad ini.
“Saya tidak pernah terlibat dengan atlet secara langsung, tapi dalam olahraga ini, antara atlet yang menjadi kegemaran saya ialah Irfan. Cuma sebelum pergi ke Korea Selatan, dia maklum pada saya bahawa dia sudah dapat gangsa. Dia akan cuba dapat emas, saya cakap Alhamdulillah.
“Tapi kalau dia bercakap tu sebab mewakili pihak ketiga, saya akan cari pihak ketiga itulah. Irfan bagi saya tiada masalah, kalau dia beritahu dia diugut, saya bersumpah tidak ada berbuat demikian,” katanya dalam sidang media di sini.
Terdahulu, media melaporkan Irfan mendedahkan dirinya menerima tekanan emosi susulan ugutan didakwanya daripada Shahidan dan beberapa pegawai kanan MA.
Menurut Irfan, insiden itu berlaku 1 hingga 3 Jun lalu, sejurus selepas beliau membawa pulang pingat gangsa daripada Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan.