
Perkara itu dinyatakan Shahidan dalam hantaran video dimuat naik di Facebook MA petang ini, tanpa menyatakan alasan penarikan diri berkenaan yang dilakukan sebelum pemilihan bermula.
“Saya Shahidan Kassim ingin menarik diri daripada bertanding presiden MA bagi penggal 2025 sehingga 2028. Semoga mesyuarat agung kali ini berjalan dengan baik dan prosesnya berjalan dengan lancar,” kata Ahli Parlimen Arau itu dalam video.
Selain Shahidan, difahamkan seorang lagi calon Presiden MA, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Wan Hisham Wan Salleh turut menarik diri.
Perkembangan itu menyaksikan jawatan nombor satu MA bakal menjadi saingan satu lawan satu di antara Timbalan Presiden MA Mark William Ling Lee Meng dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak Karim Ibrahim.
Shahidan sebelum ini pernah menerajui MA dari 2006 hingga 2012 sebelum kembali memimpin badan induk itu bagi penggal 2022-2025.