
Wakil Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) serta Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) menegaskan soalan berkait ‘peribadi dan hati nurani’ seseorang tidak wajar untuk ditanya.
Pengerusi PIBGN, Mohamad Ali Hasan, berkata pihak sekolah perlu berhati-hati dalam menyediakan kaji selidik kerana ia boleh mengundang fitnah dan salah faham sehingga menimbulkan persepsi negatif.
“Tidak perlu buat kaji selidik seumpama itu melalui anak-anak, kita bimbang kesan masa depan termasuk ada pihak menggunakan jawapan terbabit untuk balas dendam.
“Kena dapatkan keizinan ibu bapa dulu kalau hendak jawab soalan ini,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, bekas guru Mohd Fadli Salleh berkongsi lampiran kertas kaji selidik itu didakwa diperoleh dari media sosial rakannya.
Turut diajukan soalan sama ada bapa mereka menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau surau.
“Berdasarkan pernyataan di bawah sila tandakan pada skala yang sesuai,” menurut keterangan pada soalan itu yang turut disertakan kotak-kotak pilihan sama ada ‘tidak pernah, jarang-jarang dan sentiasa’.
Lebih dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Fadli’, beliau yang ‘bersara awal’ Feb lalu menyifatkan tindakan itu tidak wajar ditanya dan boleh mengundang fitnah.
Menurutnya, jawapan itu mungkin tidak tepat kerana tidak semestinya murid menjawab sering bersama dan dapat melihat bapanya menunaikan solat lima waktu atau sebaliknya.
Sementara itu, Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim mempersoalkan tujuan kaji selidik itu dibuat oleh pihak sekolah.
“Persoalannya, apakah tujuan kaji selidik ini, saya tidak nampak ada manfaat darinya.
“Agama adalah urusan peribadi seseorang, guru tidak perlu buat kaji selidik yang mungkin menimbulkan masalah atau membuka aib orang,” katanya.