
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira 2.51 petang.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika suspek dimarahi mangsa kerana gagal memulangkan motosikal yang dipinjamnya bulan lalu.
“Semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, suspek yang dimarahi mangsa telah mengambil pisau di dapur rumah terbabit lalu mengejar dan mencederakannya.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu sebelah kiri.
“Bagaimanapun, mangsa dalam keadaan sedar serta stabil dan kini ditahan di Wad Hospital Kajang bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata susulan kejadian itu, polis kini sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau dengan sebat, atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 bagi membantu siasatan,” katanya.