PRK Nenggiri: Peratusan keluar undi hampir 70% setakat 3 petang

PRK Nenggiri: Peratusan keluar undi hampir 70% setakat 3 petang

Pada PRN Kelantan Ogos tahun lalu jumlah keluar mengundi bagi kawasan Nenggiri 61.09%.

Kini berbaki 14 lagi pusat mengundi yang akan ditutup 6 petang ini, dengan empat ditutup pada 2 petang, manakala dua ditutup 3 petang.
PETALING JAYA:
Peratusan keluar mengundi PRK Nenggiri setakat 3 petang kini menghampiri 70%, dengan pusat pengundian akan ditutup pada 6 petang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah keluar mengundi setakat 3 petang, 68.21%.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 60%.

Pada PRN Kelantan Ogos tahun lalu, peratusan keluar mengundi bagi kerusi Nenggiri hanya 61.09%.

Sebanyak 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar hari ini berpeluang memilih wakil rakyat baharu dengan menunaikan hak masing-masing di semua 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran dibuka serentak 8 pagi tadi.

Empat pusat mengundi telah ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai.

Pusat mengundi di Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat pula akan ditutup 3 petang, manakala 14 lagi pusat mengundi ditutup 6 petang nanti, lapor Bernama.

Dua helikopter digunakan membawa peti undi dari pusat mengundi di kawasan Orang Asli Pos Simpor dan Pos Gob yang terletak lebih 100km dari Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Sebelum ini, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK termasuk anggota polis.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili kerajaan perpaduan dan wakil Perikatan Nasional, Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan lambang PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.