Pembantu peribadi dakwa dicedera, diugut pelakon wanita

Pembantu peribadi dakwa dicedera, diugut pelakon wanita

Polis berkata kejadian dipercayai kerana mangsa mencampuri urusan rumah tangga majikannya itu.

Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan lengan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita membuat laporan polis mendakwa dicederakan dan diugut menggunakan senjata oleh majikannya itu dalam satu kejadian pada Rabu lalu di Batu Caves.

Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 28 tahun itu membuat laporan polis pada jam 5.25 petang pada hari yang sama.

Katanya, mangsa mendakwa dicederakan serta diugut majikannya dan sepupu pelakon itu masing-masing berusia 32 dan 30 tahun di pejabat milik pelakon itu di Batu Caves.

“Siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita warga tempatan itu dicederakan serta diugut menggunakan senjata.

“Kejadian dipercayai berpunca kerana mangsa mencampuri urusan rumah tangga majikannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Ariffin berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan lengan.

“Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Selayang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.