
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, ketika dihubungi Bernama berkata Azizi turut menarik balik permohonan bagi injunksi Erinford.
Beliau berkata panel tiga hakim yang bersidang pada prosiding secara dalam talian hari ini yang terdiri daripada Hakim P Ravinthran dan Collin Lawrence Sequerah dari Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Shahid telah menolak rayuan dan permohonan Azizi untuk mendapatkan Erinford pada prosiding dalam talian hari ini.
Peguam Azizi, Rajan Navaratnam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Injunksi Erinford ialah perintah mahkamah khusus bagi menghentikan pihak lain daripada berurusan dengan perkara berkaitan tindakan undang-undang sehingga proses rayuan selesai.
Dengan penarikan balik rayuan dan permohonan injunksi Erinford, Awang Armadajaya berkata PRK itu akan berlangsung seperti dijadual Sabtu ini.
Beliau berkata semasa prosiding, beliau telah memohon kos RM50,000 kerana kelewatan penarikan balik rayuan itu, memandangkan beliau telah bertungkus lumus untuk menyiapkan kes itu termasuk bekerja pada lewat malam, dan ia kemudiannya dipersetujui responden lain.
Awang Armadaya berkata mahkamah kemudiannya memerintahkan Azizi untuk membayar ganti rugi RM25,000 kepada Amar, RM25,000 lagi kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti Hamzah Zainudin dan manakala RM25,000 lagi sebagai ganti rugi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selasa lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Azizi untuk mendapatkan perintah injunksi sementara memaksa Azizi mengemukakan permohonan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Azizi memohon injunksi sementara untuk menangguhkan PRK itu sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenai penggugurannya daripada Bersatu.
Dalam saman pemulanya, Azizi menamakan Muhyiddin, Hamzah, Mohd Amar dan SPR sebagai defendan.
Pada 27 Jun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohd Azizi bagi mendapatkan injunksi sementara, dengan memutuskan yang dia tidak terjejas dan dia masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu.
Dalam saman pemulanyanya, Azizi memohon deklarasi bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun sebagai tidak sah, notis itu sendiri tidak sah dan pemecatannya dibuat dengan niat jahat.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa SPR tidak boleh meneruskan PRK Nenggiri, kerana kerusi itu masih milik beliau.
Azizi mencabar pindaan kepada Artikel 10 Perlembagaan Bersatu yang menamatkan keahlian sekiranya individu itu menyokong parti lawan, sebagai tidak sah dan menyalahi perlembagaan.
Beberapa peguam yang mewakili Amar ialah Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yusof dan peguam penasihat Kelantan Adam Mohamed manakala Chetan Jethwani mewakili Muhyiddin dan Hamzah.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Peguam Persekutuan M Kogilambigai pula mewakili SPR.