Polis sah terima laporan kehilangan YouTuber

Polis sah terima laporan kehilangan YouTuber

Muhammad Nidza Afham Mokhtar dikatakan ke Stadium Sultan Suleiman, Klang, untuk berjoging semalam dan tidak pulang ke rumah.

Muhammad Nidza Afham Mokhtar
Muhammad Nidza Afham Mokhtar keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang, semalam dan tidak pulang sehingga kini. (Gambar X)
SHAH ALAM:
Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi serta YouTuber Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang keluar rumah pada 7.45 malam semalam dan belum pulang sehingga kini.

Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang, menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-panggilan ke Stadium Sultan Suleiman, Klang, untuk berjoging.

“Pada 9.04 malam, teman wanita Nidza Afham menghubungi beliau dan mendapati panggilan tersebut tidak dapat disambungkan.

“Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaan Nidza Afham menerusi aplikasi ‘Find My Iphone’ adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya dalam kenyataan.

Cha berkata, adiknya pergi ke lokasi terakhir itu dan menjumpai satu telefon pintar iPhone beserta dompet yang berisi dokumen milik abangnya seperti kad pengenalan dan kad pelajar.

“Bagaimanapun, didapati kad ATM Nidza Afham telah hilang,” katanya.

Sehubungan itu, Cha meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyanyi itu menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03 33762222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu media melaporkan penyanyi Aufahanie memohon orang ramai mendoakan abangnya, Nidza Afham yang hilang sejak malam tadi segera ditemui.

Beliau berkata, abangnya keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang dengan menaiki perkhidmatan e-panggilan untuk berjoging.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.