
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris mengesahkan, lebih ramai pegawai dan banduan penjara berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan berikutan siasatan masih dilakukan.
“Setakat ini, kita sudah mengambil keterangan lima pegawai. Mereka membabitkan pegawai di pos pengawal, pengawal yang memantau CCTV (kamera litar tertutup) dan mereka yang menemukan dron dan dadah berkenaan.
“Kami percaya ini bukan kes pertama yang menggunakan dron untuk menyeludup dadah (di Penjara Tapah), tetapi ia adalah kali pertama dron berkenaan gagal dan terhempas di kawasan penjara,” katanya pada sidang media di IPK Perak hari ini, menurut Harian Metro.
Azizi berkata kes terbabit kini disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Bagaimanapun beliau berkata ia bukan kali pertama barang terlarang seperti dadah diseludup ke dalam penjara selepas pelbagai rampasan membabitkan dadah dari penjara dilakukan sejak 2022 lagi.
Pada 9 Ogos lalu, pihak berkuasa mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke Penjara Tapah di Perak.
Ia selepas IPD Tapah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang kakitangan penjara yang menemukan dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok penjara.