Tauliah mengajar Ustaz Don di Selangor ditarik balik

Tauliah mengajar Ustaz Don di Selangor ditarik balik

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata Mais menarik balik tauliah Don Daniyal Don Biyajid berkuat kuasa 24 Julai lalu.

Don Daniyal Don Biyajid
Tauliah ceramah dan mengajar pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid sepatutnya tamat pada 30 Jun tahun depan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tauliah kuliah untuk memberi ceramah dan mengajar di Selangor milik pendakwah popular Don Daniyal Don Biyajid ditarik balik oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Perkara itu disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah kepada FMT ketika mengulas penularan surat pemakluman penarikan balik tauliah mengajar di Selangor dikeluarkan Mais.

Mengikut surat itu, tauliah Don Daniyal atau lebih dikenali Ustaz Don bersama empat individu lain ditarik balik pada 24 Julai lalu dan susulan itu semua masjid serta surau diminta tidak mengundang mereka.

“Maklumat itu sahih dan sedang dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Tak boleh dedah (punca tauliah ditarik) tapi pastinya berlaku pelanggaran,” kata Fahmi sambil menjelaskan penarikan tauliah Don Daniyal yang sepatutnya tamat 30 Jun depan dibuat jawatankuasa siasatan Jais dan Mais.

Jun lalu, Jais mengarahkan penangguhan ceramah atau mengajar Don Daniyal di negeri itu susulan isu pengajaran agama Islam daripada beliau yang disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata tindakan itu selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya memberi kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam dalam kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tindakan menarik balik tauliah Don Daniyal bersama empat lagi individu terbabit tidak dibuat secara melulu sebaliknya ada aduan berserta bukti sebelum siasatan dilancarkan.

Menurutnya, Don Daniyal masih boleh membuat rayuan terhadap tindakan itu dan perlu melalui proses ditetapkan.

“Penarikan itu sepatutnya menjadi satu pengajaran atau renungan kepada pemegang tauliah bahawa pihak Mais tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada aduan berasas dan pelanggaran syarat,” katanya.

Sebelum dilarang berceramah dan mengajar di Selangor, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 5 Jun lalu ‘merehatkan’ Don Daniyal daripada program Salam Baitullah selepas terdapat pertikaian mengenai sejarah hidup Nabi Muhammad SAW.

Salam Baitullah adalah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun hingga 17 Jun.

Dalam program itu, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.