Lelaki mengaku rasul ditahan

Lelaki mengaku rasul ditahan

Warga emas berusia 65 tahun ditahan bersama tiga lagi individu di Rawang.

gari
Jabatan Agama Islam Selangor menjalankan siasatan dan tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan upacara atau perbuatan bertentangan hukum syarak.
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan seorang lelaki berusia 65 tahun disyaki mengaku sebagai rasul dalam serbuan di sebuah premis di Rawang, semalam.

Pengarah Mohd Shahzihan Ahmad berkata, warga emas itu ditahan bersama tiga lagi individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita di premis sama.

Katanya, berdasarkan siasatan awal lelaki terbabit didakwa menyatakan kepada pengikutnya beliau pernah bertemu Nabi Adam secara nyata pada waktu siang.

“Beliau juga mendakwa bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam, selain bertemu rasul dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu,” katanya dalam kenyataan.

Shahzihan berkata, kejadian didakwa berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara.

“Pengikutnya mendakwa lelaki berkenaan adalah utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah.

“Antara ajaran didakwa disampaikan termasuk tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa sekiranya berasa letih dan uzur,” katanya.

Katanya, Jais menjalankan siasatan serta tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan upacara atau perbuatan bertentangan hukum syarak.

“Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 8 enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan dirinya sebagai rasul serta mendakwa mengetahui perkara di luar pemahaman dan pengetahuan manusia,” katanya.

Menurutnya, tangkapan itu dipercayai menyelesaikan satu aduan yang tular pada 9 Feb lalu, membabitkan dakwaan seorang individu mengaku sebagai rasul dan mempengaruhi ahli keluarganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.