
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Anhar Opir, berkata sultan menitahkan mereka mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti seumpamanya ketika keduanya menghadap, sebagai maklum balas penganjuran ‘Glamping with Pride’ di Hulu Langat, hujung minggu ini.
Menurut Salehuddin dan Anhar, Sultan Sharafuddin walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan berkenaan boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas negeri ini.
“Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Salehuddin dan Anhar juga berkata, Islam telah mengharamkan amalan LGBT yang mempunyai persamaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth.
“Umat Islam, khususnya golongan remaja tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup Barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.
“Tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran Islam.”
Sejajar dengan titah Sultan Sharafuddin, Salehuddin dan Anhar menggesa polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya.
Acara ‘Glamping with Pride’ selama dua hari itu menerima kecaman hebat selepas poster acara berkenaan tular di media sosial.
Aktiviti dirancang termasuk penceritaan di unggun api, acara ‘HIV Hunger Games’, pertunjukan peragaan perkhemahan, dan pertandingan sketsa, dengan pendaftaran terhad melalui kod QR.
Pemuda PAS Selangor membantah acara itu dengan alasan ia bercanggah dengan nilai agama dan norma budaya, namun penganjur, Jejaka, menyatakan bahawa program tersebut akan tetap diteruskan.
Setakat ini, polis telah menerima lima laporan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).