Kedai ubat jadi stor dadah diserbu

Kedai ubat jadi stor dadah diserbu

Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Taman Desa Petaling petang kelmarin membabitkan rampasan hampir RM22 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata dua suspek termasuk warga Singapura turut ditahan dan mereka kini direman enam hari bermula sehingga 16 Ogos ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membongkar kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan sebuah kedai ubat tradisional di Taman Desa Petaling sebagai stor penyimpanan.

Serbuan di premis dua tingkat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman petang kelmarin itu melibatkan jumlah rampasan dianggarkan hampir RM22 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ dadah.

Katanya, pihaknya menemukan sejumlah 209.65kg dadah jenis pil erimin 5 tersimpan dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat satu kedai terbabit.

“Dalam serbuan seterusnya, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 64 tahun yang disyaki sebagai dalang utama sindiket ini.

“Suspek ditahan dalam kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipandunya di sebuah lokasi yang terletak kira-kira 30 meter dari premis kedai yang diserbu.

“Hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek, kita menemui 5.55kg dadah jenis pil ekstasi di tempat letak kaki penumpang hadapan kenderaan terbabit,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini, menurut Berita Harian.

Khaw berkata jumlah semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM21.8 juta.

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2024. Semakan mendapati dua suspek terbabit tiada rekod jenayah lampau dan keputusan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.

“Kita percaya semua dadah ini diseludup masuk dari negara jiran dan dijual dengan harga antara RM25 hingga RM50 sebiji. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas kenderaan serta wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan RM21.9 juta.

“Dua suspek itu kini direman selama enam hari bermula semalam sehingga 16 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN menyita pelbagai aset milik suspek dianggarkan bernilai lebih RM59,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.