
Katanya, atlet negara sentiasa berusaha menjaga nama baik Malaysia di peringkat global, justeru beliau berharap peminat sukan akan melakukan perkara sama dalam talian.
“Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi. Negara kita negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga,” katanya menerusi catatan dalam talian.
Menurutnya, beliau akur dengan keputusan perlumbaan malam tadi, yang membawa kepada penyingkirannya ke tempat keenam kerana memasuki laluan Nakano.
“Bagi saya, dunia rasanya terhenti seketika. Berat, payah, perit untuk saya hadam. Rasanya seakan semua harapan, perit jerih, susah payah saya sejak hari pertama hancur lebur, sedangkan ia sudah terbuka luas untuk digapai.
“Dalam situasi itu, sukar untuk saya rasionalkan semua yang berlaku. Namun, sebagai Muslim, kita perlu reda atas semua ketentuan. Kita merancang, Allah merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.”
Dalam saingan final semalam, Shah Firdaus menuju selekoh terakhir dengan peluang meraih pingat gangsa, tetapi dilanggar Nakano selepas beliau memasuki treknya dan seterusnya menyebabkan mereka berdua bersama pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh sejurus sebelum garisan penamat.
Warganet kemudian membanjiri laman Instagram Nakano dengan gambar Jalur Gemilang, dengan ada yang mengkritik pelumba itu kerana mempamerkan semangat kesukanan lemah dan bertindak tidak profesional.
Bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin turut membidas pelumba Jepun itu dengan berkata Shah Firdaus akan naik ke podium jika bukan disebabkan Nakano.