
Menerusi hantaran di Facebook, pentadbir itu menarik balik semua kenyataan terhadap Arifin, yang menurutnya ‘telah menjadi mangsa salah faham selama ini’, berhubung kes itu.
Pentadbir Facebook SNO turut memohon maaf atas cubaan mengaitkan Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dengan kes itu melalui Arifin, yang juga menantunya.
“Pihak SNO memohon maaf dengan sepenuh hati dan akan menjadikan (hantaran) ini sebagai bahan rujukan umum sehingga semua pihak memahami kebenaran (bahawa Arifin tidak terkait dengan kes itu)
“Dengan ini, segala usaha dan cubaan untuk mengaitkan Yang Dipertua Negeri dan sebagainya adalah satu penyesatan dan ia amatlah dikesali,” katanya.
Pentadbir Facebook SNO turut berharap hantaran ini dapat meredakan rasa tidak puas hati warganet terhadap laman itu susulan tuduhan yang dibuat.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan Jabatan Peguam Negara yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.
Awal hari ini, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina yang boleh menyebabkan pelajar Tingkatan Satu itu tertekan.
Lima remaja itu dituduh mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.