‘Orang luar takkan gelak’, Nenggiri bakal ada ATM

‘Orang luar takkan gelak’, Nenggiri bakal ada ATM

Keluhan penduduk mendapat perhatian Kementerian Kewangan yang memaklumkan pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan.

Kementerian Kewangan selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan ATM di Nenggiri.
PETALING JAYA:
Penduduk Nenggiri boleh menarik nafas lega apabila keluhan mengenai ketiadaan mesin juruwang automatik (ATM) di DUN itu yang disiarkan FMT Khamis lalu didengar kerajaan sekali gus menoktahkan masalah dihadapi mereka.

Masalah membelenggu penduduk kawasan itu mendapat perhatian Kementerian Kewangan yang memaklumkan pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan bagi memenuhi keperluan mereka.

Katanya, usaha itu akan diperluaskan bagi memastikan semua rakyat dapat menerima kemudahan asas tersebut

Laporan FMT berhubung isu ketiadaan ATM yang menyukarkan kira-kira 30,000 penduduk di Nenggiri.

“Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan perbincangan dengan beberapa bank tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan ATM di DUN Nenggiri, dan ia mendapat respons positif.

“MOF juga akan mengadakan sesi libat urus dengan bank-bank tempatan secara berterusan bagi mengenal pasti penambahbaikan boleh dilaksanakan terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat diperluaskan,” katanya dalam kenyataan.

FMT melaporkan penduduk Nenggiri berdepan kesukaran mengeluarkan wang dan melakukan transaksi perbankan lain susulan ketiadaan ATM, ditambah pula akses internet kurang memuaskan.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa keluar lebih 50km ke bandar Gua Musang serta Dabong untuk mengeluarkan wang dengan ada antaranya terpaksa membayar tambang kereta sewa sekitar RM50 kerana tiada kenderaan.

Penduduk, Suriani Mustafa, 47, dari Kampung Bertam Lama, berkata permintaan supaya kemudahan ATM disediakan mungkin dianggap ‘melucukan’ oleh orang luar terutama dari bandar namun itulah harapan mereka selama ini.

“Bila cakap nak mesin ATM orang luar mungkin gelak tapi hanya kita di pedalaman ini sahaja dapat rasa betapa pentingnya termasuk untuk kirim duit kepada anak-anak di universiti,” katanya.

Sehubungan itu, mereka berharap wakil rakyat baharu bakal dipilih pada PRK 17 Ogos ini menyelesaikan isu membelenggu 30,000 penduduk Nenggiri terletak bawah Parlimen Gua Musang.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata orang ramai yang menghadapi kesukaran seumpama ini di kawasan mereka boleh menghubungi [email protected] atau talian 03 8000 8000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.