Syarikat, 2 pengarah didenda RM1.1 juta miliki gula tanpa lesen

Syarikat, 2 pengarah didenda RM1.1 juta miliki gula tanpa lesen

Syarikat Helang Gagah Group Sdn Bhd dan Pengarah Mohamad Zaini Md Taha serta Nur Bazilah Ahmad didakwa melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu.

mahkamah melaka
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mengenakan denda RM1.1 juta terhadap sebuah syarikat dan pengarahnya, Mohamad Zaini Md Taha serta Nur Bazilah Ahmad kerana memiliki gula 5,300kg tanpa lesen sah tiga tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat dan dua pengarahnya didenda RM1.1 juta oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas kesalahan memiliki dan mempunyai kawalan ke atas barang kawalan iaitu gula sebanyak 5,300kg tanpa lesen sah tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Darmafikri Abu Adam terhadap Syarikat Helang Gagah Group Sdn Bhd dan dua pengarah Mohamad Zaini Md Taha, 46, serta isterinya Nur Bazilah Ahmad,39, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu dan syarikat terbabit didakwa mempunyai kawalan dan milikan ke atas barang berjadual jenis gula pasir kasar jenama Citra sebanyak 5,300kg dalam keadaan menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat tersebut di Jalan MHH F2/3, Kilang Teres Melaka Halal Hub Fasa 2, Serkam Darat, Jasin, kira-kira 4.30 petang, 26 Okt 2021.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 (1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan boleh didenda maksimum RM1 juta dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM3 juta bagi individu.

Bagi pertubuhan perbadanan yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini apabila disabitkan, boleh didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM5 juta.

Terdahulu, peguam mewakili Mohamad Zaini, Mohammad Irwan Shah Md Asri merayu jumlah denda ringan dengan alasan syarikat itu dalam proses untuk ditutup selain anak guam menghidap penyakit jantung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Syazwani Zawawi dan Nor Alimah Mohd Sanusi membantah dan memohon hukuman berat.

Darmafikri mendenda Mohamad Zaini dan Nur Bazilah sebanyak RM200,000 setiap seorang serta memerintahkan mereka dipenjara 12 bulan jika gagal membayarnya manakala syarikat didenda RM700,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.