‘Sebiji skru pun tak jual’, Jazlan nafi tukar milik kilang Felcra

‘Sebiji skru pun tak jual’, Jazlan nafi tukar milik kilang Felcra

Pengerusi Felcra Ahmad Jazlan Yaakub cabar individu buat tuduhan lapor SPRM.

Ahmad Jazlan Yaakub
Pengerusi Felcra Ahmad Jazlan Yaakub berkata tuduhan beliau memindah milik kilang Felcra kepada syarikat bukan Bumiputera adalah fitnah.
GUA MUSANG:
Ahmad Jazlan Yaakub sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan meletak jawatan pengerusi Felcra jika ada bukti beliau menjual kilang syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu.

Jazlan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, beliau juga membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu membuat tuduhan tersebut.

“Kalau tuduhan ini benar, pertama saya akan meletak jawatan sebagai pengerusi Felcra. PM (perdana menteri) dan TPM (timbalan perdana menteri) boleh pecat saya.

“Saya juga cabar buat laporan pada SPRM, saya sedia disiasat dan sedia berdepan di mahkamah. Usahkan kilang, skru kilang sebiji pun tak pernah saya jual kepada mana-mana pihak,” katanya dalam program di Renok Baru.

Beliau mengulas dakwaan seorang aktivis politik pembangkang dalam beberapa ceramah politik di Neggiri bahawa terdapat kilang milik Felcra ditukar kepada syarikat bukan Bumiputera.

Jazlan berkata, tuduhan itu adalah fitnah jahat yang bertujuan memburukkan namanya sepanjang kempen di PRK Nenggiri.

“Saya rasa rakyat Nenggiri cukup matang, ini bukan isu Nenggiri. Cuma nak calar imej saya selaku pengarah operasi BN PRK Nenggiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.