
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata terdapat 6,114 kes pada 2021, menjadikan jumlah kanak-kanak memerlukan perlindungan konsisten meningkat, sejak tiga tahun lalu.
Kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan kebiasaannya merujuk mereka yang mengalami penderaan dengan ibu bapa gagal memberikan perlindungan.
Kementerian berkata, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) yang baru dibentuk antara lain fokus kepada keselamatan dan kebajikan kanak-kanak didera dan diabaikan untuk ditangani secara berkesan dan teratur.
Bermula September 2023, bahagian itu dinaik taraf kepada jabatan telah melaksanakan pengukuhan peranan masyarakat dan pertubuhan berasaskan komuniti (CBO), program advokasi perlindungan kanak-kanak, dan pembangunan garis panduan keselamatan kanak-kanak di taska.
Kementerian berkata, ketika ini jabatan itu telah menerima kemasukan 153 pegawai pelbagai skim dan gred secara berperingkat.
“JKM melalui JPKK sedang dalam tindakan melaksanakan semakan semula pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“‘Special Project Team’ (SPT) telah dilantik bagi memastikan pindaan dapat dibuat secara komprehensif dan efektif dengan mengambil kira kepakaran serta pandangan daripada pihak-pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan.