
Presiden Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi, Yunus Yasin, berkata sistem pendidikan negara berpusat di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tidak seperti Amerika Syarikat di mana setiap negeri dan daerah boleh memperkenalkan sukatan pelajaran sendiri.
“Untuk rancangan Johor mendapat manfaat di peringkat makro, KPM mungkin perlu meneliti semula cara sistem itu distrukturkan dan mempertimbangkan untuk desentralisasikannya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Johor mungkin berdepan masalah dalam usaha meningkatkan program itu kerana memerlukan kos tinggi.
Pada 27 Julai lalu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri bercadang membabitkan masing-masing dua sekolah rendah dan menengah bagi memfokuskan penguasaan STEM serta bahasa Inggeris.
Katanya, projek rintis yang akan dilancarkan tahun depan itu bakal memajukan sistem pendidikan negeri.
Yunus berkata, kerajaan negeri juga perlu memastikan mempunyai guru berkebolehan mencukupi.
“Setiap kali dasar berubah, kita lupa elemen terpenting dalam perubahan ini, iaitu guru: sama ada mereka terlatih, berkebolehan atau mempunyai motivasi.
“Jika mereka mahu ia berjaya, mereka perlu bekerjasama rapat dengan Institut Pendidikan Guru.”
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan, Noor Azimah Rahim, berkata Johor boleh melahirkan pencipta, profesional dan individu membawa pembaharuan di sekolah terpilih menyertai projek rintis itu, yang akan menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi kelak.
Katanya, pelajar juga dapat mengasah kemahiran berfikir secara kritis bagi menangani mata pelajaran STEM, selain dapat menguasai bahasa Inggeris.
Beliau berkata, apabila menamatkan pengajian, mereka akan mempunyai kelebihan dalam kebolehpasaran pekerjaan dan mendahului kemajuan saintifik serta kejuruteraan.
Menurutnya, pelajar yang berjaya dalam mata pelajaran STEM akan menerajui kemajuan mekanisasi, kejuruteraan, digital serta saintifik.
“Ia akan menjadikan negara kurang bergantung kepada buruh asing berkemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran. Memandangkan kita negara perdagangan, kita juga perlu cemerlang dalam bahasa Inggeris.”