Kerusi tradisi, Umno Kluang akan pertahan DUN Mahkota

Kerusi tradisi, Umno Kluang akan pertahan DUN Mahkota

Timbalan Ketua Umno Kluang, Zainal Mohamed berkata Amanah tidak boleh menganggap DUN Mahkota milik parti itu kerana hanya pernah dimenanginya pada PRU14 lalu.

Timbalan Ketua Umno Kluang, Zainal Mohamed (kanan) juga berpandangan tuntutan Amanah Kluang itu tidak akan menjejaskan hubungan antara dua parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Kluang akan mempertahankan DUN Mahkota yang kini dituntut Amanah kerana ia adalah kerusi tradisi Umno.

Timbalan Ketua Umno Kluang, Zainal Mohamed berkata Amanah juga tidak boleh menganggap DUN Mahkota milik parti itu kerana hanya pernah dimenanginya pada PRU14 lalu.

“Itu kerusi tradisi Umno. Kami akan pertahankan sebab kita sudah ambil balik (menang) pada (PRN) 2022.

“Dia (Amanah Kluang) tak boleh beranggapan kerusi itu dia punya,” katanya kepada FMT.

Zainal membalas kenyataan Ketua Amanah Kluang Zuhan Zain dalam satu sidang media yang menuntut parti itu untuk diberi laluan bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diadakan nanti.

Kata Zuhan, tuntutan itu dibuat kerana kerusi itu pernah dimenangi Amanah pada PRU14 serta mendakwa Pakatan Harapan (PH) dipinggirkan dalam pentadbiran kerajaan Johor.

Kerusi DUN Mahkota diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Dalam pada itu, Zainal berpandangan tuntutan Amanah Kluang itu tidak akan menjejaskan hubungan antara dua parti tersebut.

“Saya rasa tak mungkin jejaskan kerana kerusi ini tradisi Umno. Masing-masing mempunyai hak untuk keluarkan kenyataan. Sebagai ahli parti pertahankan apa ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.