
Syed Hussien yang memakai baju batik dan bersongkok tiba pada 8.55 pagi bersama Ketua MIC Kluang G Raman terus menunaikan tanggungjawabnya dan selesai kira-kira 15 minit kemudian.
Bercakap kepada media, Syed Hussien berkata perjalanan proses demokrasi bermula 8 pagi tadi bermula lancar dengan pelbagai bangsa bersemangat membuang undi.
“Kita dapat lihat pelbagai bangsa dan masyarakat keluar bagi menunaikan tanggungjawab mereka. Inilah yang kita nak lihat, semangat kebersamaan untuk keluar mengundi.
“Buat semua pengundi Mahkota, di mana saja anda berada, ingatlah hari ini merupakan hari penentu.
“Masa masih panjang, jadi mari kita sama-sama turun buktikan kepada negara bahawa Kluang sudah bersedia untuk menentukan masa depan kita semua,” katanya.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, selesai menunaikan kewajipan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu pada 10.15 pagi.
Sebanyak 20 pusat pengundian melibatkan 109 saluran bagi PRK DUN Mahkota dibuka serentak pada 8 pagi ini.
Kesemua pusat mengundi akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 9.89% pemilih selesai menunaikan tanggungjawab sehingga 9 pagi.
PRK DUN Mahkota, yang terletak di bawah Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah menang kerusi itu ketika PRN Johor pada 2022, dengan majoriti 5,166 undi.