Pengundi mahu kerajaan tumpu ekonomi, kata Anwar

Pengundi mahu kerajaan tumpu ekonomi, kata Anwar

Ia juga petanda jelas rakyat yakin dengan kerangka dasar dan polisi kerajaan, kata perdana menteri.

Pengundi Mahkota beri peluang kepada kerajaan perpaduan untuk tumpu perhatian pada ekonomi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
MIRI:
Kemenangan besar Barisan Nasional dalam PRK DUN Mahkota petanda masyarakat di kawasan itu mahu kerajaan perpaduan diberi peluang untuk menumpukan perhatian membangunkan ekonomi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemenangan Syed Hussein Syed Abdullah dengan majoriti besar 20,648 undi adalah sesuatu di luar jangkaan.

“Tidak siapa yang jangka kemenangan BN di pihak kerajaan perpaduan dengan majoriti 20,000 lebih dan saya percaya ini petanda masyarakat… sudah punyai pandangan bahawa berilah peluang kepada kerajaan perpaduan untuk menumpukan perhatian dalam bidang ekonomi, angkat darjat negara dan rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada jamuan negeri malam tadi sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak, yang turut dihadiri oleh Premier Abang Johari Openg.

Syed Hussien peroleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya Mohamad Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional, yang sekadar meraih 7,347 undi.

Di Facebook, Anwar berkata kemenangan besar itu bukti masyarakat DUN Mahkota yakin dengan keberkesanan muafakat kerajaan pusat dan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

“Ia juga petanda jelas rakyat terus yakin dengan kerangka dasar dan polisi kerajaan yang menitikberatkan soal ekonomi serta taraf hidup rakyat keseluruhannya.

“Tahniah kepada saudara Syed Hussien Syed Abdullah dan BN atas kejayaan luar biasa dalam mempertahankan kerusi DUN Mahkota,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.