Penjumlahan undi PRK Mahkota bermula

Penjumlahan undi PRK Mahkota bermula

Selepas pusat pengundian ditutup, proses pengiraan undi bermula sebelum kertas undi dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

SPR menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 47.16% pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka setakat 4 petang. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Proses pengundian PRK DUN Mahkota berakhir selepas semua 20 pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi ditutup secara rasmi pada 6 petang.

Selepas pusat pengundian ditutup, proses pengiraan undi bermula di pusat pengundian, sebelum kertas undi dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 61,274 pengundi layak untuk mengundi hari ini manakala undi awal telah berlangsung pada Selasa lepas, selain kertas undi pos telah dikeluarkan pada 15 Sept.

Secara keseluruhannya DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu 56%, Cina (34%), India (8%) dan bakinya lain-lain.

SPR menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 47.16% pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka setakat 4 petang.

Cuaca di bandar Kluang adalah baik pada sebelah pagi, namun hujan lebat pada sebelah petang, menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.