
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata tuntutan itu dibuat ketika pertemuan Bahagian Media dan Komunikasi Strategik pejabat itu dengan wakil Meta di Putrajaya hari ini.
“Pejabat Perdana Menteri juga menuntut beberapa perkara, termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil oleh Meta, serta permohonan maaf secara terbuka.
“Seperti yang dijanjikan dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, wakil Meta dipanggil bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin termasuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang diturunkan dan disekat menerusi plaftorm seperti Facebook, Instagram perdana menteri.
Meta juga diminta memberi penjelasan berhubung gangguan yang dilaporkan berlaku dalam siaran langsung di Facebook sewaktu Himpunan Pembebasan Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi yang dihadiri lebih 15,000 orang.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Mohamad Salim Fateh Din.
Menurut kenyataan itu, Pejabat Perdana Menteri juga menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran perdana menteri menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ismail yang dibunuh baru-baru ini.
“Tindakan Meta ini sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.
“Ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia,” kata kenyataan itu.