Bunuh diri: Pakar gesa perbanyak pusat kaunseling, latih kaunselor

Bunuh diri: Pakar gesa perbanyak pusat kaunseling, latih kaunselor

Pakar Runding Psikiatri dan Penagihan Universiti Mahsa, Mohamad Hussain Habil, juga saran KPM bersama KKM perbanyak program kesedaran peringkat sekolah.

Pakar berkata ketika ini kebanyakan kaunselor di sekolah tidak begitu terdedah cara pengendalian remaja yang mengalami kemurungan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memperbanyak pusat kaunseling untuk remaja susulan trend berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri dalam kalangan kumpulan itu meningkat, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS).

Pakar Runding Psikiatri dan Penagihan Universiti Mahsa, Mohamad Hussain Habil, juga mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) memperbanyak program kesedaran peringkat sekolah supaya peningkatan kes bunuh diri dapat dikurangkan.

Katanya, namun ketika ini kebanyakan kaunselor di sekolah tidak begitu terdedah cara pengendalian remaja yang mengalami kemurungan.

“Mesti ada program latihan dan boleh kita cadangkan pihak KKM melatih mereka terutama guru cara nak kenal pasti remaja alami masalah kemurungan, trauma dan cara kendalikan mereka secara kaunseling, rawatan bersesuaian termasuk psikologi,” katanya kepada FMT.

Mohamad Hussain Habil.

Beliau berkata, selain itu latihan sama juga perlu diberikan kepada ahli agama di semua rumah ibadat melalui kaedah ‘psikologi kerohanian’ sebagai salah satu langkah pencegahan awal.

Pada 9 Julai lalu Pengerusi Majlis Sosial Negara, Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Heal 15555 menerima lebih 48,000 panggilan berkaitan tingkah laku cubaan bunuh diri bagi tempoh 2022 hingga Jun tahun ini.

Manakala, tinjauan NHMS pada 2022, terdapat satu dalam lapan remaja mempunyai pemikiran untuk membunuh diri manakala satu dalam 10 pula cuba membunuh diri.

Selain itu, menerusi laporan sejumlah 1,142 kes bunuh diri dalam kalangan remaja dilaporkan pada 2022, iaitu peningkatan 81% berbanding 631 kes pada 2020.

Saedah Siraj.

Sementara itu, Saedah Siraj dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pula berpendapat institusi kekeluargaan perlu mengambil peranan utama dalam mengurangkan peningkatan kes bunuh diri.

Katanya, dalam dunia semakin berubah remaja mungkin merasakan terperangkap dalam dunia baharu serta tidak mencapai standard orang sekeliling menyebabkan mereka murung, terpencil dan rasa tidak diperlukan oleh orang dewasa.

“Itu memang berlaku, dalam keluarga itu sendiri, walaupun tak ramai anak dalam satu keluarga tapi mereka masih rasa terasing…biasanya keterasingan itu kerana ketiadaan komunikasi daripada ibu bapa mereka,” katanya.

Saedah berkata, ibu bapa juga perlu memantau kandungan rancangan ditonton anak mereka terutama dari Korea dan Jepun yang menjadikan kaedah membunuh diri sebagai jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.