
Dr RA Lingeshwaran, bekas pengarah Hospital Sungai Bakap, berkata jururawat adalah tulang belakang hospital. Katanya, hilang jururawat berpengalaman, terutama kepada sektor swasta dan hospital di luar negara bukan petanda baik kepada sistem penjagaan kesihatan kita.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberitahu Dewan Negara sejak 2014, 5,009 jururawat staf dan 769 jururawat masyarakat memilih sama ada keluar atau meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan.
Kebanyakan mereka merupakan paramedik peringkat pertengahan dalam kumpulan Gred U36 dan U32. Daripada jumlah itu, 161 jururawat yang meninggalkan perkhidmatan adalah antara Gred U41 dan U54, 462 (daripada Gred U36), 2,284 (U28), dan 769 (Gred 19 hingga 26).
Lingeshwaran, yang lama berkhidmat di hospital awam, berkata memahami tugas jururawat sukar, berbahaya, dan sangat membebankan. Mereka juga berdepan bekerja di hospital yang sesak pesakit.
“Inilah aspek tugasan mereka yang tidak disedari. Jangan lupa, kebanyakan mereka juga adalah ibu dan isteri apabila pulang ke rumah. Tugas mereka tidak pernah terhenti,” katanya.
Beliau mencadangkan skim gaji kumpulan itu disemak dengan memasukkan kenaikan pangkat berdasarkan ‘time-based’, sepertimana mereka terlibat pekerjaan kritikal lain – doktor dan guru.
Lingeshwaran berkata, 10% elaun kritikal diterima jururawat tidak mencukupi mengekalkan mereka dalam perkhidmatan.
“Bagi saya, mereka menjalankan perkhidmatan kepada negara kerana perlu melakukan segalanya untuk pesakit.
“Mereka sepatutnya dibayar lebih tinggi berbanding kategori sama yang bertugas di meja dan tidak perlu berurusan dengan pesakit tenat memerlukan semua jenis penjagaan, termasuk kebersihan diri,” katanya.
Lingeshwaran berkata, prospek kenaikan pangkat jururawat sangat terhad, dengan sangat sedikit dilantik ke jawatan sister dan matron, justeru menjadi kekangan mengembangkan kerjaya.