
“Bagi saya, isu-isu peringkat dalaman, mungkin lebih elok dibincang secara dalaman. Tak perlu kita bawa isu dalaman (yang) dibincang dalam mesyuarat kepada umum,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu pada sesi libat urus dengan media di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
“Benda patut dimesyuaratkan, mesyuaratkanlah. Benda patut diumumkan, umumkanlah. Benda patut bincang di kedai kopi secara mesra, bincangkanlah di kedai kopi. Permintaan saya pada pemimpin-pemimpin (tertinggi) PN, sebut benda yang betul di tempat yang betul.”
Wan Saiful berkata demikian berikutan pertikaian hangat antara PAS dan Gerakan mengenai peranan syarikat arak membantu sekolah Cina mengumpul dana.
Pertikaian itu membawa kepada Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS mungkin tidak dapat bekerjasama dengan Gerakan pada PRU akan datang jika mereka kekal dengan pendirian berhubung syarikat arak dan sekolah Cina.
Presiden Gerakan Dominic Lau kemudian berkata, pemimpin PN masih belum membincangkan cara menyelaraskan perbezaan mereka sejak gabungan itu ditubuhkan.
Wan Saiful berkata, pemimpin tertinggi perlu membincangkan strategi untuk memperkemas komunikasi dan kenyataan umum bagi mengelak salah faham.
Katanya, komen tidak terkawal daripada pemimpin PAS tertentu mewujudkan tanggapan parti itu ‘bongkak’.
“Saya kenal kawan-kawan dari PAS, Gerakan, Bersatu, dan saya rasa sebenarnya tidak wujud kesombongan seperti dituduh. (Mereka) hanya (menyuarakan) pandangan hati masing-masing, (yang) menimbulkan salah faham,” katanya.
“Perbezaan pandangan ini perlu diselaraskan untuk menjadi pegangan gabungan secara keseluruhan. Untuk elakkan daripada tuduhan (bongkak) berleluasa, saya rasa ini memerlukan perbincangan pada peringkat atasan dan sedikit disiplin.”