
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata rampasan Toyota Alphard, Mini Cooper dan Chery Omoda itu hasil pemeriksaan 84 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 25 serta 27 Jun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kontena itu tiba dari sebuah negara di Asia Timur, manakala semua kenderaan, termasuk sebuah EV dianggarkan bernilai lebih RM100,000 untuk pasaran tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kenderaan itu tiada permit import dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya dalam sidang media di sini.
Dalam kes berlainan, Norlela berkata, pihaknya merampas 6,500 batang pokok hidup daripada sebuah kontena di pelabuhan sama pada 6 Jun lalu, dipercayai untuk pasaran tempatan, termasuk bagi tujuan landskap.
Katanya, semua pokok termasuk jenis bonsai dianggarkan bernilai RM325,000 yang diikrarkan sebagai pokok landskap plastik itu didapati tiada permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Menurutnya, kastam turut merampas empat juta batang rokok bernilai RM2.992 juta serta 381kg tembakau shisha dianggarkan bernilai RM43,832 selepas menahan dua kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara pada 4 serta 15 Jun lalu.
Katanya, kedua-dua barang rampasan itu diikrarkan “Wood Marquetry and Inlaid Wood” serta “Loose Goods” bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pihaknya merampas 600 pil kuda bernilai RM9,000 daripada bungkusan plastik dalam pemeriksaan di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 16 Julai lepas.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga paket berisi pil dipercayai pil kuda/yaba disyaki amphetamine yang disembunyikan dalam lipatan seluar jeans di bungkusan plastik terbabit,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.