Suruhanjaya Ekonomi Gig perlu disegerakan, seru majlis

Suruhanjaya Ekonomi Gig perlu disegerakan, seru majlis

Penubuhannya amat penting untuk urus ekosistem industri gig, kini sebahagian daripada gaya hidup rakyat, kata MyGiG.

ehailing
Industri gig kini sebahagian daripada gaya hidup rakyat. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig perlu disegerakan sebagai langkah strategik bagi melindungi kira-kira tiga juta pekerja dan penggiat sektor daripada ketidaktentuan ekonomi global.

Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) Sharkar Shamsudin berkata penubuhan suruhanjaya yang diluluskan oleh Jemaah Menteri itu amat penting untuk mengurus ekosistem industri gig, kini sebahagian daripada gaya hidup rakyat.

“Peranan suruhanjaya itu bukan sekadar menyelaras, sebaliknya bertindak sebagai pelindung kebajikan serta penyelaras dasar dan polisi berkaitan ekonomi gig,” katanya dalam temu bual ‘Krisis Tenaga Dunia: Strategi Malaysia dan Keperluan Penggiat Ekonomi Gig’.

Mohd Sharkar Shamsudin
Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata penggunaan kenderaan elektrik (EV) turut dilihat sebagai strategi jangka panjang yang wajar dipertimbangkan secara serius, selain Program Budi Madani RON95 (BUDI95), susulan ketidakstabilan harga minyak dunia.

Sharkar berkata kerajaan boleh memperkenalkan beberapa inisiatif seperti skim sewaan khas atau rebat bagi membolehkan pekerja gig memiliki EV, selain menyediakan kemudahan pengecasan pantas.

“Walaupun terdapat pandangan supaya penggiat ekonomi gig beralih kepada EV, kos permulaan yang tinggi serta kemudahan prasarana pengecasan yang masih terhad menjadi kekangan utama.

“Bagaimanapun, ia menjadi strategi lebih mampan kerana kos elektrik lebih rendah berbanding petrol selain harganya dikawal oleh kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.