Rangkaian swasta 5G lebar jurang liputan luar bandar, kata kumpulan pengguna

Rangkaian swasta 5G lebar jurang liputan luar bandar, kata kumpulan pengguna

Fomca gesa rangka kerja kawal selia ketat dilaksana demi memastikan penyedia sedia liputan berkualiti.

5g
Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan, berkata perlu ada standard dan pengawasan ketat bagi mengelak kualiti rendah liputan 5G di kawasan luar bandar. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Rangkaian kedua 5G dikendalikan swasta boleh menjurus penyedia perkhidmatan mengabaikan liputan kawasan luar bandar, kata persatuan pengguna.
T Saravanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan, berkata motif berpandukan keuntungan syarikat penyedia dibimbangi melebarkan jurang kesalinghubungan bandar dan luar bandar.

“Timbul risiko signifikan berkait rancangan dwirangkaian menyaksikan kawasan luar bandar ketinggalan memandangkan penyedia rangkaian kedua mungkin mengutamakan infrastruktur kawasan bandar yang berdaya maju dari segi ekonomi.

“Ia mampu memburukkan jurang digital, menjadikan masyarakat luar bandar dengan kesalinghubungan lemah dan peluang pembangunan, pendidikan, dan pertumbuhan ekonomi berkurang,” katanya kepada FMT.

Pada 2021, Malaysia memperkenalkan rancangan bagi Digital Nasional Berhad (DNB), agensi milik kerajaan, dalam mengawal selia semua spektrum 5G, membenarkan semua penyedia perkhidmatan menggunakan infrastrukturnya.

Bagaimanapun, DNB dikatakan memonopoli dengan pengritik mempertikai model tunggal rangkaian merencatkan persaingan dan inovasi.

Pada Mei tahun lalu, Putrajaya bersetuju berganjak ke arah model dwirangkaian, selepas DNB mencapai kadar liputan 80% kawasan berpenduduk. DNB melepasi sasaran itu apabila mencapai 81.5% liputan setakat April lalu.

Mengulas lanjut, Saravanan menggesa rangka kerja kawal selia ketat terhadap penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan liputan perkhidmatan mereka ke seluruh negara.

“Jika rangkaian kedua beroperasi tanpa standard dan pengawasan ketat, kualiti perkhidmatan mungkin tidak meningkat kerana tiada penanda aras penguatkuasaan.

“Mengambil kira isu kualiti perkhidmatan 5G terutama di kawasan luar bandar, pendekatan ini lebih kritikal,” katanya.

Saravanan berkata, kawasan luar bandar sejak dari dulu berdepan masalah akses perkhidmatan berkualiti tinggi.

Goh Lim Thye.

Ahli ekonomi, Goh Lim Thye dari Universiti Malaya, berkata kawasan luar bandar akhirnya menerima kesan sepertimana ketika pelancaran 4G apabila industri telekomunikasi didominasi beberapa pemain utama.

“Syarikat telco lembab melancarkan perkhidmatan ke luar bandar kerana kawasan itu kurang menguntungkan mengambil kira kurang berkepadatan penduduk dan kos infrastruktur tinggi.

“Kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menunjukkan penembusan jalur lebar kawasan luar bandar hanya 50%, berbanding 85% kawasan bandar,” katanya.

Goh mencadangkan kerajaan menyediakan insentif sebagai galakan kepada telco melabur infrastruktur di luar bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.