
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, penglibatan pemegang taruh dapat menjadi semak dan imbang dalam penggubalan dan pelaksanaan garis panduan dan undang-undang sedemikian.
Hal ini kerana, katanya, sekiranya gagal dilaksanakan dengan jelas, sukar untuk garis panduan dan undang-undang tersebut diterima baik oleh rakyat, terutamanya pengguna media sosial.
“Kalau kerajaan nak bentuk satu garis panduan, pelaksanaan undang-undang berkaitan media sosial perlu penglibatan pemegang taruh, peniaga, NGO, wakil pengguna, dan sudut pandangan institusi agama.
“Ada ruang yang boleh disalah tafsir sesetengah pihak dan isu ini boleh ‘ditunggang’ mereka yang tak sehaluan dengan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Siraj memuji usaha kerajaan memperkenalkan lesen bagi penyedia platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna, yang menurutnya langkah awal yang baik untuk mengekang jenayah siber, termasuk buli siber dan penipuan atas talian yang semakin berleluasa.
“Bila kerajaan buat perkara ini, ia (bertujuan) supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan proaktif kekang isu salah guna platform media sosial,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) Wan Azliana Wan Adnan berpandangan, langkah kerajaan itu akan membuatkan pengguna lebih berhati-hati dalam tindakan mereka di media sosial.
“Ia akan menjadi pencegahan yang tegas, (pengguna media sosial) akan berhati-hati apabila komen atau keluarkan kenyataan di media sosial.
“Penguatkuasa juga senang nak saman atau ambil tindakan,” katanya sambil menambah, langkah ini diyakini mampu mengekang gejala buli siber dan fitnah.
Wan Azliana, yang juga seorang peguam bagaimanapun menegaskan, akta khusus untuk jenayah buli perlu diwujudkan memandangkan tiada peruntukan khusus undang-undang menanganinya pada masa ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelum ini mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon lesen kelas pemberian perkhidmatan aplikasi.
Kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet itu akan diperkenalkan pada 1 Ogos.
Jemaah Menteri berpendapat, langkah itu akan dapat memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bagaimanapun menafikan langkah itu mempunyai tujuan politik atau menghalang kebebasan bersuara.