Kabinet diberi penjelasan isu rumah ibadat tak sah esok

Kabinet diberi penjelasan isu rumah ibadat tak sah esok

Menteri dalam negeri akan jelaskan dakwaan manipulasi dan provokasi perkauman dalam isu rumah ibadat tidak mengikut undang-undang, termasuk insiden kuil di Rawang.

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution turut nafi tindakan polis halang perhimpunan Sabtu lalu sebagai tidak menghormati kebebasan bersuara.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penerangan kepada Kabinet esok berhubung isu rumah ibadat yang tidak mengikut undang-undang, termasuk insiden merosakkan sebuah kuil di Rawang.

Beliau berkata penerangan itu bagi menjelaskan keadaan sebenar, peranan pihak polis dalam mengawal situasi, serta kewujudan pihak tertentu yang didakwa cuba memanipulasi isu dengan meniup sentimen perkauman dan mencetuskan provokasi.

“Saya akan memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang keadaan sebenar yang berlaku, watak-watak terlibat dan bagaimana pihak polis berusaha mengawal keadaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau mengulas pertikaian berkait rumah ibadat kebelakangan ini yang didakwa tidak mematuhi peraturan, selain kempen oleh pihak tertentu yang menggesa premis berkenaan dimusnahkan.

Semalam, polis menahan empat lelaki yang disyaki merosakkan sebuah kuil di Rawang untuk siasatan kesalahan khianat, merosakkan tempat ibadat, penghinaan dengan niat mengganggu keamanan, serta pencerobohan jenayah.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata penerangan kepada Jemaah Menteri juga bertujuan memastikan tindakan polis tidak disalah tafsir atau dilihat hanya dari satu sudut.

Menurutnya, ada pihak menuduh tindakan polis terhadap individu yang mengadakan perhimpunan berkaitan isu rumah ibadat tidak sah sebagai tidak menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Polis menggunakan Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai langkah preventif yang dibenarkan undang-undang untuk menghalang atau menyekat situasi daripada menjadi lebih buruk.

“Kebebasan bersuara bukan kebebasan menghasut atau meniup sentimen yang boleh menyemarakkan ketegangan perkauman dan agama. Ia ada hadnya,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat segelintir ahli politik yang memainkan isu itu demi keuntungan sementara tanpa mengambil kira kepentingan menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.