Lewat jangkaan asal, LRT3 mula operasi menjelang suku ketiga 2025

Lewat jangkaan asal, LRT3 mula operasi menjelang suku ketiga 2025

Kerja-kerja pembinaan jajaran meliputi 20 stesen dijangka selesai Oktober ini, kata menteri pengangkutan.

LRT3
Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia dijangka menelan belanja kira-kira RM16 bilion. (Gambar Bernama)
KLANG:
Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) melibatkan jajaran dari Bandar Utama ke Johan Setia di Selangor dijangka siap dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, setakat ini kerja-kerja pembinaan jajaran yang meliputi pembinaan 20 stesen itu telah mencapai 95.6%, dijangka selesai pada Oktober ini.

Ini kemudiannya akan diikuti dengan kerja-kerja pengintegrasian sistem yang dijangka mengambil masa beberapa bulan hingga awal tahun depan, katanya.

“Selepas proses itu, kita akan bersedia untuk buat proses pengujian dan pentauliahan yang akan mengambil masa tiga ke empat bulan sebelum mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terkini projek pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa hari ini.

Loke berkata, tempoh jangkaan operasi sedikit lewat berbanding jangkaan asal pada Mac tahun depan, antara lainnya disebabkan kerja-kerja yang tidak dapat dilakukan semasa wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Loke berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lepas turut bersetuju mengembalikan skop asal LRT3 membabitkan lima stesen, iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Katanya, pengembalian lima stesen itu bersama dengan pembelian tambahan tujuh set tren tiga gerabak, pembesaran depoh tren di Johan Setia dan pembelian 150 bas elektrik untuk penghantaran serta pembinaan dua depoh bas.

Proses itu, katanya, akan melibatkan tambahan kos sebanyak RM3.8 bilion termasuk kos mewujudkan bas perantara antara stesen pertama dan terakhir bagi memantapkan perkhidmatan LRT3 tersebut.

“Tambahan bagi skop asal dan kerja-kerja lain akan mengambil masa dua tahun, namun tidak akan memberikan kesan kepada tarikh pembukaan dan operasi bagi 20 stesen berkenaan,” katanya.

Menurut Loke, pengembalian lima stesen itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik serta menyumbang kepada penggunaan pengangkutan awam, khususnya di Lembah Klang.

Hal ini kerana laluan berkenaan akan memberikan perkhidmatan kepada beberapa kawasan yang berkepadatan tinggi, terutamanya dari Bandar Utama, Shah Alam dan Klang yang sebelum ini tiada sistem LRT, katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dibatalkan sebelum ini, membabitkan kos RM4.7 bilion.

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia itu dijangka menelan belanja kira-kira RM16 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.