
Menurut sumber, berasaskan petunjuk baharu tersebut, SPRM melihat semula siasatan dengan memfokuskan kepada beberapa petunjuk yang diterima.
Katanya, siasatan tertumpu pada penyelewengan sebanyak RM42 juta, iaitu sebahagian daripada RM530 juta yang dibayar dalam kontrak membekalkan perkhidmatan sokongan berhubung pembelian kapal selam terbabit.
Sebuah syarikat tempatan yang dilantik dikatakan membuat pembayaran kepada beberapa syarikat tanpa pengetahuan lembaga pengarah, menurut sumber.
Dipercayai pembayaran-pembayaran dengan jumlah RM42 juta itu diseleweng kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli keluarga pemilik syarikat terbabit, katanya.
“SPRM akan meneruskan siasatan ini dengan memanggil beberapa orang saksi,” kata sumber, dan menambah badan anti-rasuah itu mengenal pasti individu-individu yang terlibat, dan telah merakam percakapan mereka sebelum ini.
“Siasatan kes terhadap Scorpene ini tidak pernah ditutup dan perkembangan ini akan memperlihatkan ianya akan diaktifkan semula berdasarkan penemuan baru,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, pada April dilapor berkata siasatan berhubung berkaitan pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002 masih berjalan.
Beliau dipetik sebagai berkata SPRM berhubung dengan pihak-pihak di luar negara bagi mendapatkan maklumat tentang beberapa transaksi.
Pembelian dua kapal selam Perancis itu berlaku pada 2002.
Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010.