2 pemanah cilik teruskan legasi bapa jaguh sukan memanah berkuda

2 pemanah cilik teruskan legasi bapa jaguh sukan memanah berkuda

Abu Bakr Akmal dan abangnya Muhammad masing-masing berusia 12 dan 14 tahun kini mewakili negara dalam sukan tersebut.

akmal
Muhammad dan adiknya Abu Bakr menunjukkan koleksi pingat dimenangi mereka dalam sukan memanah berkuda.
KUALA PILAH:
Debaran ketika melepaskan anak panah ke sasaran sambil memecut laju kuda yang ditunggang masih segar dalam ingatan Abu Bakr Muhamad Akmal, 12, yang mewakili negara dalam Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Mongolia Dalam, China pada bulan lalu.

Sebagai peserta paling muda dan bersaing dengan peserta berpengalaman dari seluruh pelusuk dunia, sudah pasti semakin besar debaran dirasai Abu Bakr bagi merebut gelaran juara sukan memanah berkuda berprestij itu.

“Waktu itu, saya fokus kepada apa yang saya nak buat dan tak fokus kepada orang lain. Jadi saya tak risau sangat.

“Pengalaman yang sangat seronok buat saya. Rezeki saya Alhamdulillah. Saya berminat nak buat lagi dan lagi,” kongsinya kepada FMT.

akmal
Abu Bakr Muhamad Akmal mewakili Malaysia dalam Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Mongolia, China, bulan lalu.

Abu Bakr berjaya menyelitkan namanya di tangga ke-12 acara keseluruhan yang majoritinya diungguli peserta dewasa dari Mongolia dan Kazakhstan – sesuatu yang bukan mudah dicapai.

Meskipun Abu Bakr memperolehi jumlah mata tertinggi secara keseluruhan, namun dia ‘kalah’ dalam kategori masa, apabila kuda yang ditunggangnya bergerak sedikit perlahan, menyebabkan ketinggalan beberapa mata.

Tidak kecewa, Abu Bakr berkata dia masih muda dan punya lebih banyak peluang untuk merangkul gelaran juara sekaligus mengharumkan nama negara, suatu hari nanti.

“Saya belajar memanah seawal umur empat tahun dan memanah berkuda pada usia enam tahun. Latihan saya sekarang, setiap hari saya melepaskan 100 batang anak panah dalam masa sejam.

“Saya tidak pernah merasa bosan,” katanya yang memenangi pelbagai kejohanan sebelum terpilih mewakili negara bersama tujuh lagi peserta lain.

Abangnya, Muhammad Muhamad Akmal, 14, turut terpilih mewakili negara dalam kejohanan yang sama dan berjaya menduduki tangga ketujuh dalam kategori Mongolian Sareen.

Tiga lagi kategori dipertandingkan dalam kejohanan itu adalah Hungarian Target, Asian Serial Shot dan Chinese Imperial Martial Exam Target.

“Saya suka berlawan dengan orang yang lebih besar dan matang. Pertandingan ini adalah masa untuk saya bersinar. Saya pun terkejut terpilih mewakili negara.

akmal
Muhammad mahu bergelar juara dunia seperti bapanya Muhamad Akmal Mohamad Dahalan.

“Impian saya mahu menjadi seperti ayah. Ayah saya pernah menjadi juara dunia dalam acara memanah. Saya sungguh beruntung jadi anaknya,” katanya yang mula serius dalam sukan memanah berkuda sejak berusia enam tahun.

Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, 43, bapa kepada dua anak muda hebat ini sudah tentu bangga dengan pencapaian paling tinggi yang diraih anaknya, setakat ini.

Pernah meraih pingat emas dalam acara Serial Shoot Team dan pingat perak, acara Serial Shoot Individual, dalam Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-15, di Korea pada 2019, Akmal berkata pertandingan yang disertai dua anaknya itu, bukan sesuatu yang mudah.

akmal
Muhamad Akmal pernah dinobat juara dunia acara Serial Shoot Team, Kejohanan Memanah Berkuda Dunia Ke-15 di Korea pada 2019.

“Pemilihan dua anak saya mewakili negara dibuat Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia. Alhamdulillah, Abu Bakr dan Muhammad banyak kali naik podium (menjuarai pertandingan dalam negara) sebab itu terpilih.

“Mereka dinilai melalui kemahiran mengendalikan kuda, kemahiran berkuda, tahu apa hendak dibuat dengan kuda dan mampu memanah dengan baik.

“Bukan sebab mereka anak kepada Akmal Dahalan,” katanya yang sudah 14 tahun mengusahakan Ladang Alam Warisan di Seri Menanti, yang dijadikan lokasi berlatih sukan memanah berkuda dan pelbagai aktiviti rekreasi menyeronokkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.