
Felo Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Teo Kok Seong, berkata modifikasi ke atas persembahan kuda kepang dibuat supaya selari tuntutan Islam bagi memastikan kelangsungannya.
Beliau menarik perhatian kepada kajian oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mengenal pasti kedua-dua unsur yang boleh diteruskan dan bercanggah, sekali gus memberi panduan jelas kepada penggiat seni.
Teo berhujah, pengetahuan itu boleh mendorong masyarakat untuk terus meraikan seni kuda kepang.

“Orang takut untuk mengadakan kesenian tersebut kerana nanti ditangkap dan sebagainya, tetapi dengan adanya panduan daripada pihak agama dan mengikuti panduan itu, segala-galanya akan menjadi lebih baik.
“Maknanya, dengan adanya panduan daripada jabatan agama, ia tak akan pupuslah. Ia terus wujud dalam bentuk Islamik,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Mufti Johor Yahya Ahmad berkata kajian UTHM itu, meneliti unsur dalam persembahan kuda kepang yang boleh diterima dan perlu dielakkan, bakal dijadikan panduan supaya tradisi berkenaan dapat diteruskan.
Katanya, fatwa mengenai persembahan kuda kepang di Johor digariskan sejak 2009, namun sehingga kini belum diwartakan kerana kerajaan negeri memilih pendekatan mendidik berbanding menghukum.
Menurutnya, fatwa itu ditambah baik pada 2013 dan diperkukuh pada 2019, namun proses pewartaan mengambil masa.
Mengulas lanjut, Teo menekankan keperluan mendokumentasikan bentuk asal kuda kepang yang dianggap tidak selari dengan Islam sebelum ia diubah.
“Perlu ada dokumentasi sebagai perbandingan untuk tujuan keinsafan, jangan dibuang terus supaya anak cucu kita dapat lihat kuda kepang yang tempat mana tidak Islamik itu,” katanya.
Teo menegaskan tradisi masyarakat Jawa itu penting dihidupkan dan diwarisi maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa agama serta masyarakat menjadikan ia Islamik.
Beliau ditanya tentang masa depan seni kuda kepang selepas beberapa penggiat dijatuhi hukuman penjara dan denda, atas tuduhan terbabit dalam upacara pemujaan.
Isu kuda kepang tercetus semula selepas tular rakaman persembahan didakwa melibatkan unsur pemujaan.
Pengasas Pusaka, sebuah pertubuhan yang bekerjasama dengan pengamal seni persembahan tradisional, menasihatkan penggiat seni kuda kepang tidak membuat persembahan secara terbuka, atau menyiarkan rakaman di media sosial, kerana bimbang disalah tafsir dan mengundang kecaman.

Eddin Khoo menerangkan tradisi masyarakat Jawa yang berakar sejak ratusan tahun itu sering dipersembahkan dalam konteks falsafah dan kebatinan yang halus, namun menjadi sasaran kritikan apabila hanya dinilai berdasarkan rakaman klip pendek.
“Media sosial bawa bencana, ia tidak merangkumi keseluruhannya. Jangan gunakan media sosial untuk aktiviti itu, dan bukan untuk sebarkan dan sebagainya. Sebab orang ramai tidak faham.
“Saya ingin menasihat mereka terlibat kuda kepang, buat persembahan itu dalam kalangan mereka yang ada perhubungan dengan seni itu sebabnya ia satu seni keturunan moyang kita. Jadi maruah moyang kita harus dipelihara,” katanya.