Transaksi makin besar, scammer guna akaun keldai syarikat

Transaksi makin besar, scammer guna akaun keldai syarikat

Polis syor diperketat pendaftaran perniagaan dengan aspek pengesahan identiti libat lembaga pengarah serta setiausaha syarikat.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata scammer mula beralih arah guna akaun keldai syarikat berbanding individu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mengesyorkan pendaftaran perniagaan diperketat menerusi pengesahan identiti pelanggan (KYC) memandangkan sindiket scammer mula beralih menggunakan akaun keldai syarikat berbanding individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata trend ini berlaku kerana pindahan wang dalam jumlah semakin besar sebagai transaksi perniagaan kononnya sah.

“Kita melihat perubahan modus operandi dalam kes akaun keldai.

“Jadi, kita syorkan supaya pendaftaran perniagaan diketatkan dengan menekankan aspek KYC ke atas syarikat terutama lembaga pengarah atau pentadbir serta setiausaha syarikat terbabit,” katanya menurut Sinar Harian pada sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penggunaan akaun keldai telah dikenal pasti sebagai faktor kepada semua kes scam yang berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Jelasnya, selama ini, tiada undang-undang khusus berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan akaun keldai menjadikan ia terus digunakan dalam jenayah penipuan.

“Justeru, Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang telah diluluskan baru-baru ini adalah umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang,” katanya.

Kata beliau, melalui RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang dibentang dan diluluskan oleh Dewan Negara tiga hari lalu, isu siasatan berkait penggunaan akaun keldai ini akan dapat diperkasakan.

Menurut Ramli, pindaan undang-undang itu melibatkan penambahan beberapa peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A, 424B, 424C, dan 424D Kanun Keseksaan.

“Peruntukan ini adalah berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan akaun keldai termasuklah memiliki, mengawal, menyerah, dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrument pembayaran.

“Sementara bagi pindaan Kanun Tatacara Jenayah akan melibatkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang dari sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.