
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata pameran itu sebagai inisiatif untuk mengangkat institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan konsep Raja berperlembagaan agar ia terus terpelihara.
“Ini akan membolehkan rakyat menghayati institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian baginda Tuanku sekali gus menyemarakkan lagi slogan raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya ketika merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Negara.
Beliau berkata, Jabatan Muzium Malaysia mengadakan Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak Julai 1980.

Selain itu, antara item lain akan dipamerkan adalah koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Diraja Abu Bakar Johor serta koleksi daripada agensi seperti Arkib Negara dan Perpustakaan Negara yang berupa dokumen perjanjian dan manuskrip.
“Elemen utama diketengahkan dalam pameran ini ialah berkaitan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Undang-undang ini telah ditandatangani dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 Sept 1895 di Istana Besar Johor.
“Sejarah telah membuktikan bahawa Johor adalah kerajaan pertama yang menggunakan Undang-undang Tubuh yang bertulis dan masih diguna pakai oleh kerajaan Johor hingga kini,” katanya.