
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sembilan individu itu ditahan di sebuah kediaman di Sungai Besi Isnin lepas.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia 14 hingga 40 tahun.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 18 telefon bimbit, empat komputer riba, lima set komputer dan masing-masing satu rangkai anak kunci beserta kad akses, set skrip perbualan, router dan bagasi,” katanya dalam sidang media mingguan JSJK di sini.
Sindiket itu disyaki memulakan operasi sekitar Januari 2024 dan mengendalikan platform Lehuigoua yang digunakan sebagai laman sesawang menyerupai platform e-dagang dan dipromosikan sebagai tempat sah membeli barang atau perkhidmatan.
“Platform ini mendakwa berkolaborasi dengan platform e-dagang terkenal seperti Taobao, Tmall dan JD.com. Namun, hakikatnya ia skema penipuan lebih besar dan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat China.
“Sindiket ini mendakwa mangsa berpeluang mendapat komisen hasil penjualan barangan dan mereka yang berminat bekerja melalui platform ini akan dimasukkan dalam kumpulan Telegram dan segala komunikasi serta arahan diberikan melalui kumpulan itu.”
Ramli berkata, komisen dijanjikan berubah-ubah daripada 0.3% hingga 0.6% dan sering berjanji memberikan pendapatan tinggi sebagai umpan.
“Siasatan setakat ini turut mendapati sindiket mempunyai akses ke atas akaun mangsa di platform berkenaan. Ini membolehkan mereka mengubah data seperti kredit dan keuntungan serta sering menunjukkan kewujudan transaksi palsu bagi menarik kepercayaan mangsa.”
Lima daripada sembilan individu yang ditahan direman hingga esok, manakala baki empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.