Syarat lebih ‘luas, fleksibel’ lantik graduan TVET dalam sektor awam

Syarat lebih ‘luas, fleksibel’ lantik graduan TVET dalam sektor awam

JPA berkata, langkah ini diambil selaras keputusan kerajaan meneruskan usaha memperkasakan TVET bawah SSPA.

tvet
JPA berkata, penetapan kelayakan TVET dalam syarat lantikan ke perkhidmatan awam bergantung kepada kesesuaian bidang kemahiran. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan ruang dan peluang kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang layak untuk berkhidmat dalam sektor awam melalui syarat lantikan lebih luas serta fleksibel.

Menurut kenyataan JPA, perkara berkenaan selaras keputusan kerajaan meneruskan usaha memperkasakan TVET bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memperluas kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dalam syarat lantikan Gred 19, dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dalam syarat lantikan Gred 29.

Pelaksanaan inisiatif itu bakal diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“JPA sentiasa bekerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia untuk memperuntukkan kelayakan TVET yang diiktiraf MQA dalam kelayakan masuk skim perkhidmatan yang bersesuaian dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan JPA.

Penetapan kelayakan TVET dalam syarat lantikan ke perkhidmatan awam bergantung kepada kesesuaian bidang kemahiran tertentu di dalam skop dan huraian tugas sesuatu skim perkhidmatan serta dilaksanakan susulan perbincangan dengan ketua perkhidmatan berkaitan.

“Sebagai contoh, peruntukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bidang pengangkutan diletakkan sebagai syarat lantikan ke skim perkhidmatan Pemeriksa Kereta Motor Gred AB19 kerana bidang itu bersesuaian dengan skim berkenaan berbanding skim perkhidmatan Pembantu Perikanan Gred G19 yang menetapkan syarat SKM dalam bidang pertanian dan asas tani,” menurut JPA.

Sementara itu, JPA memaklumkan pihaknya sentiasa cakna dengan keperluan industri negara dalam penyediaan modal insan berkemahiran bagi mendepani Revolusi Industri 4.0.

“Kerajaan terus mempergiat TVET dengan memperuntukkan kelayakan SKM dalam 66 skim perkhidmatan di Gred 19 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2011 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.

“Bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa bergerak seiring keperluan negara, kelayakan DKM dan DLKM juga diperuntukkan dalam syarat lantikan bagi dua skim perkhidmatan di Gred 29, iaitu skim perkhidmatan Penolong Pegawai Latihan Vokasional Gred DV29 dan Penolong Pegawai Latihan Gred E29,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.