5 agensi kerajaan, 9 syarikat swasta terjejas gangguan IT

5 agensi kerajaan, 9 syarikat swasta terjejas gangguan IT

Ia membabitkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata sembilan syarikat swasta dalam sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan terjejas akibat gangguan IT pada 19 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 Julai lepas, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, agensi terbabit ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Institut Kesihatan Negara dan Lembaga Zakat Kedah.

Katanya, sembilan syarikat swasta pula melibatkan sektor penerbangan, perbankan dan kesihatan.

“Semua data dalam sektor kerajaan selamat. Tidak ada sebarang ketirisan dan kita lihat tidak ada masalah dari sudut data,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya, kerajaan berjaya mematahkan cubaan pancingan data ketika gangguan berlaku.

Beliau berkata, beberapa domain pancingan data diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat dan akses kepada data syarikat tertentu.

Gobind berkata, beliau sudah menemui wakil Microsoft serta CrowdStrike dan menyampaikan mesej tegas bahawa tahap keselamatan mereka mesti diperkukuh.

Katanya, Microsoft kini dalam proses menyiapkan laporan penuh insiden itu dan mereka diminta mempertimbangkan tuntutan syarikat Malaysia yang mengalami kerugian dan kerosakan susulan gangguan itu.

Tetapi, beliau belum menerima maklumat anggaran kerugian tersebut.

Menurutnya, gangguan itu bukan serangan siber dan terjadi ekoran kelemahan perisian kemas kini CrowdStrike sehingga menjejaskan sistem operasi Microsoft serta pengguna tidak dapat mengakses sistem komputer mereka.

“Walaupun bukan serangan siber, kementerian memandang serius perkara ini kerana gangguan sebegini menunjukkan kelemahan dalam proses sistem teknologi wujud yang menyebabkan kerosakan dan kehilangan besar sekiranya berulang lagi.”

Justeru, beliau berkata, tiga pelan diambil untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang, antaranya pembekal perisian perlu menambah baik prosedur ujian sebelum pelaksanaannya (deployment) dan mempunyai ulasan berkala serta mengemas kini rancangan masing-masing.

Katanya, penting bagi sesebuah syarikat mempunyai pelan tindak balas komprehensif dan strategi komunikasi untuk pihak bekepentingan menguruskan sebarang insiden dengan berkesan.

Gobind berkata, gangguan itu menunjukkan pentingnya tadbir urus baik dalam pengendalian platform digital dan kementerian telah memperkenal serta menambah baik Akta Keselamatan Siber 2024 dan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.